Salam Aidilfitri...
Akhirnya sha kembali bersiaran selepas akhir ramadhan dan aidilkfitri...
sesungguhnya besar dugaan dariNya ramadhan dan Syawal kali ini...alhamdulilah semua telah berjaya ditempuhi...
x mau berceloteh panjang....harap u all baca buah tangan pertama sha kali ni...received from email fwd kengkawan office....jom baca....
Banyak sudah terjadi pasangan yang putus hubungan kerananya. Ada yang putus persahabatan, tali pertunangan dan tidak kurang juga berlaku perceraian ikatan perkahwinan gara-gara cemburu. Malah sering juga terdengar kisah cemburu menjadi motif kepada kes-kes jenayah termasuklah pembunuhan. Justeru adanya cemburu boleh meracuni perhubungan dan pergaulan di tengah kehidupan.
Namun tanpa cemburu juga merbahaya. Tanpa cemburu maka tiada siapa yang akan ambil peduli dan terpanggil untuk rasa bertanggungjawab untuk membaiki keadaan. Sebarang kebiasaan tabiat buruk dan keterlanjuran akan mudah membarah menjadi gejala tidak sihat, maksiat dan mungkar. Tanpa perhatian dan pengawasan maka tingkah laku yang buruk akan semakin menjadi-jadi sehingga sukar dipulihkan lagi.
Sebenarnya bukan semua cemburu itu tidak baik. Ada cemburu yang baik dan terpuji malah disukai Allah. Nabi s.a.w. ada bersabda: “Di antara kecemburuan itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Adapun yang disukai Allah ialah cemburu yang berisi keraguan, sedangkan yang dibenci Allah ialah cemburu yang tiada ragu-ragu lagi.”
(Riwayat Abu Daud) Cemburu yang tiada lagi asas untuk ragu dan sangsi inilah yang dikatakan cemburu buta. Bagi cemburu sedemikian, pintu kemungkinan berlakunya kesilapan atau salah sangka sudah tertutup rapat. Sesuatu yang dicemburukan itu diyakini benar berlaku tanpa selidik dan usul periksa. Sebaliknya cemburu yang baik itu ada asasnya dan disusuli dengan usul periksa. Selanjutnya meluahkan rasa cemburu juga perlu secara kasih dan sayang, bukannya dengan melulu. Justeru cemburu yang baik itu harus dipandu oleh akal, bukan dengan semata-mata emosi.
Cemburu juga tidak harus dipersempitkan kepada terjejasnya perasaan kasih dan sayang antara pasangan kekasih atau suami isteri sahaja. Ini kerana selain kekasih, suami atau isteri, banyak lagi yang disayangi oleh manusia dalam hidupnya. Sejajar dengan ini Imam Fudhail ‘Iyadh r.m. mentakrifkan cemburu itu sebagai perubahan bentuk kata-kata seseorang akibat berubahnya suasana hati yang bergelegak kerana marah. Ini disebabkan ikut sertanya orang lain dalam sesuatu yang dirasakan khusus milik dirinya.
Sesuatu yang menjadi hak milik dan kepunyaan seseorang tidak terhad kepada pasangan hidupnya sahaja. Ia termasuk juga harta benda, kemuliaan dan nama baik, keharmonian rumah tangga, ketaatan anak-anak, keakraban kaum keluarga yang dimiliki. Demikian juga kemurahan rezeki, keupayaan istiqamah berbuat baik, bersedekah jariah, berakhlak mulia seterusnya segala kelebihan anugerah Ilahi yang sedang dinikmati secara peribadi. Pastinya semua ini akan disayangi kerana tinggi nilaiannya dan sukar diperolehi. Justeru setiap yang disayangi ini akan dicemburui pula. Kerana tidak mahu ia luput atau pudar. Memang ada kebenarannya cemburu itu tanda sayang. Jikalau tiada perasaan sayang di dalam hati maka tiadalah luahan rasa cemburu di bibir mulut dan wajah. Oleh itu bagi sebuah keluarga dan rumah tangga bahagia, maka cemburu itu merupakan suatu keperluan. Bukan sahaja isteri harus mencemburui suaminya, malah suami juga harus cemburu kepada isterinya. Demikian juga ibu bapa harus cemburu pada anak-anak.
Kecemburuan ini bersumberkan ikatan kasih sayang yang sedia terjalin. Keharmonian rumah tangga juga harus diwarnai dengan cemburu terutama oleh suami atau bapa selaku ketua keluarga. Keharmonian amat mahal harganya dan wajar disayangi dengan menghindari segala yang boleh mencacat-celakannya. Demikian juga terhadap kesefahaman, kemurahan rezeki, keberkatan hidup berkeluarga dan seumpamanya; semua itu merupakan nikmat anugerah Ilahi yang tiada tolok bandingnya. Tidak sempurna cemburu itu jika hanya sebagai tanda adanya sayang.
Cemburu juga perlu kerana sayang. Persoalannya, sayang yang bagaimana? Sebagai contoh, tidak cukup sayangkan isteri kerana kecantikan rupa parasnya. Jika demikian, apabila kecantikan itu hilang dimamah usia maka akan pudar jugalah rasa cemburu suami terhadap isterinya. Sayang tidak akan kekal dan cemburu tidak akan berterusan jika diikat dengan suatu yang tidak abadi dan hakiki kerana mengalami perubahan. Oleh itu mutu kasih dan sayang harus dipertingkatkan. Sayang dan cemburu seorang suami atau bapa kepada isteri dan anaknya haruslah sampai ke pintu syurga. Ini kerana syurga itu hakiki dan salah satu makhluk yang kekal abadi.
Firman Allah s.w.t.: “Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada azab seksa api neraka.” (At-Tahrim: 6) Dalam melaksanakan perintah pemeliharaan ini maka ketua keluarga perlu memiliki sifat cemburu. Tuntutan sayang pada anak dan isteri harus juga kerana sayangkan hubungan kasih dan cinta pada Allah. Dia-lah sumber ikatan kasih sayang yang paling utama, sejati dan abadi. Jangan tergadai ikatan kasih sayang pada Ilahi kerana sayangkan anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Jika berlaku pertembungan cemburu atau cinta antara kepada Allah dan selainnya maka perhatikanlah firman Allah s.w.t. ini: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri rugi dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai; adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.” (At-Taubah: 24) Justeru, cemburulah apabila suami atau isteri mahupun anak yang memaparkan tanda-tanda lalai dan leka serta melencong daripada landasan hidup orang yang dicintai Allah. Peka dan cemburulah terhadap kehalalan dan keberkatan punca rezeki.
Cemburulah dengan masa dan makanan yang terbazir.
Sesungguhnya orang yang mubazir itu saudara syaitan yang mendapat kutukan Allah. Demikian juga apabila anak gadis dibawa lelaki ajnabi ke hulu dan hilir, ini harus dicemburui. Anak-anak yang berubah perangai dengan tiba-tiba atau sering pulang lewat harus dicemburui. Suami atau isteri yang mula berleka-leka dengan hiburan dan berpeleseran hingga semakin lalai dengan Tuhan harus dicemburui. Jangan tunggu sehingga anak teruna sudah meleleh hidungnya, matanya merah berair, mulut berbuih dan berbau asap dan tekak anak gadis telah loya dan muntah-muntah; baru hendak cemburu.
Cemburulah untuk mencegah sebelum penyakit menjadi parah! Jadi memang benar cemburu itu tanda sayang dan kerana sayang. Sayangilah apa juga, asalkan dihubungkan dengan kasih sayang kepada Allah yang empunya segala-galanya. Cemburu itu adalah pengimbang dan pengimbas kasih sayang. Ia merupakan satu keperluan rumah tangga bahagia. Asalkan neraca dan teropong yang menjadi asas kecemburuan itu selari dengan kehendak Allah s.w.t.
Oleh itu, sentiasalah peka dengan apa-apa yang Allah marah dan benci serta cemburu. Cemburu kerana sayangkan Allah itu dengan memelihara rahmat dan nikmat kurniaan-Nya, kerana mahu bersyukur dan bimbang kehilangan pandangan kasihan belas dari Allah. Juga kerana takut hilang keberkatan hidup dan petunjuk-Nya. Mudah-mudahan dengan cemburu itu terbuka pintu pengampunan Allah dan seisi keluarga tidak kempunan nikmat syurga milik-Nya. AMIN!
6 Komen Anda:
thanx for sharing this..:]
salam..cemburu tanda sayang..cemburu itu perlu..jgn cemburu tanpa sebab sudah la.. =)
pernah dengar Allah cemburu kalau kita percaya ada Tuhan selain Dia?
good, ! i suka post u. tanx :)
salam perkenalan ya nama ku melor dan selamat hari raya
banyak blog yang saya kunjungi tidak layak untuk dibaca apalagi dipublikasikan, namun berbeda dengan blog ini, blog ini sangat kaya akan sentuhan seni dan update informasinya sangat cepat.
Catat Ulasan